Perjanjian TPPA Merosak Ekonomi Rakyat,
Menggadai Kedaulatan Negara !
Solidariti
Anak Muda Malaysia (SAMM) menggesa semua pihak bersatu menentang
perjanjian TPPA yang disifatkan sebagai satu bentuk penjajahan baru.
Lebih malang apabila penjajahan baru ini dihalalkan oleh pemerintah di
atas kepentingan tertentu yang tidak menyebelahi rakyat.
Perjanjian
multilateral terikat TPPA yang melibatkan negara Asia Pasifik seperti
Australia, AS, New Zealand, Kanada, Mexico, Chile, Brunei, Malaysia dan
Vietnam juga berkisar tentang liberalisasi pasaran di mana negara ahli
bebas berniaga di pasaran negara ahli secara terbuka. Persoalannya,
sejauh manakah industri perkhidmatan kita bersedia untuk berdepan
syarikat gergasi super multinasional barat?
Dari
pengamatan SAMM, kesan TPPA sangat besar dan menyeluruh khususnya
terhadap rakyat yang berpendapatan sederhana. Ianya lebih dari soal
globalisasi perdagangan, ia turut meliputi penggubalan undang-undang
bagi memberi laluan kepada agenda tersembunyi Amerika dan konglomerat
dunia untuk terus menjarah negara, tanpa sempadan. Namun walaupun punya
impak yang besar, perjanjian yang bakal ditandatangani pada Oktober
nanti telah dibincangkan secara senyap dan penuh kerahsiaan. Apakah yang
cuba disorokkan?
Apakah melihat Perjanjian TPPA ini agak teknikal maka rakyat tidak berhak untuk mendapat penerangan dan memberi maklumbalas?
Kita amat yakin banyak pemain
industri tempatan masih memerlukan bantuan kerajaan dalam meletakkan
perniagaan mereka ke landasan maju dan berdaya saing terutama golongan
bumiputera sedangkan TPPA dilihat tidak mesra kepada dasar yang
membezakan antara pemain tempatan dan antarabangsa. Bagaimanakah
kerajaan memastikan kedaulatan Malaysia akan dijaga dan bukan dijadikan
bahan belasahan Konglomerat Kapitalis di Tribunal Timbangtara
Antarabangsa kelak?
Contoh, di Australia, Kerajaan mereka disaman oleh Philip Morris Tobacco Company hanya kerana mereka mahu implement kotak
rokok plain. Belum pun TPPA dilaksanakan sepenuhnya, konglomerat
kapitalis sudah mula menunjukkan sikap sebenar mereka walaupun
perundangan yang ingin dilaksanakan itu sebenarnya memberikan kebaikan
untuk rakyat tetapi ia merupakan kemusnahan kepada konglomerat
kapitalis. Justeru, konglomerat bertindak menafikan kedaulatan sesebuah
negara dalam melaksana tindakan berlandas dasar dan perundangan negara
tersebut.
Kesedaran
rakyat tentang isu TPPA amatlah penting. Maka SAMM bersama sekutu NGO
dan front anak muda mahasiswa telah bertekad memastikan kefahaman
tentang TPPA diperluas dan seterusnya melakukan beberapa aksi bagi
menghalang kerajaan sewenang-wenangnya memetrai perjanjian yang
menjahanamkan kehidupan rakyat negara ini.
Bagi
menambah momentum perlawanan terhadap perjanjian TPPA, beberapa siri
demonstrasi telah disusun dan dijadualkan berlangsung pada 19 Julai 2013
bertempat di Masjid Wilayah. Demonstrasi 19 jun ini juga akan
menyaksikan perarakan dari Masjid Wilayah ke ibu pejabat MITI untuk
disampaikan sebuah memorandum. SAMM gesa warga lembah klang khususnya
anak muda yang berkesempatan untuk hadir menyatakan bantahan terhadap
perjanjian TPPA.
Rundingan
rahsia TPPA yang mengheret Malaysia harus dihentikan segera. SAMM tidak
menolak kemungkinan mesyuarat perjanjian TPPA pusingan ke-18 yang akan
berlangsung di Kota Kinabalu bermula 15 Julai ini digagalkan oleh
rakyat. Ia sekaligus menunjukkan kepada dunia bahawa masih ada
penentangan dari rakyat bagi menjamin negara ini tidak dijajah kembali
dalam bentuk ekonomi global.
Harus
semua ingat, kesan TPPA terhadap rakyat adalah sangat besar dan cukup
radikal, maka untuk melawan perjanjian dan persekongkolan penuh rahsia
TPPA ini juga perlu bersifat radikal agar dunia tahu rakyat Malaysia
tidak semudah diperkotak-katikkan.
che'GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
-------